KOTA BHARU – Hasrat seorang ibu tunggal untuk membeli sebuah kereta jenis Perodua Viva terpakai tidak kesampaian apabila wang simpanan sebanyak RM3,000 hangus selepas rumahnya di Lorong Baloh Raja, Kubang Kerian di sini terbakar tengah malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12.55 tengah malam itu, mangsa, Siti Suraya Manan, 39, tidak sempat mengambil wang tersebut yang disimpan di dalam almari kerana terkejut melihat api marak di bahagian dapur rumahnya.
Siti Suraya berkata, ketika kejadian, dia bersama dua anak lelaki yang berusia 14 dan 19 tahun berada di dalam sebuah bilik dan sempat berpesan kepada anak perempuannya untuk menjerang air di dapur.
“Semasa berada di dalam bilik, salah seorang anak lelaki saya melihat api menyala pada sistem pendawaian di dapur. Saya bersama anak-anak cuba memadam kebakaran itu, namun api cepat merebak.
“Tanpa berfikir panjang, kami terus keluar untuk menyelamatkan diri kerana bimbang terperangkap di dalam rumah,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Siti Suraya memberitahu, meskipun selamat, dia terkilan apabila tidak sempat menyelamatkan dokumen penting, wang simpanannya sebanyak RM3,000 di dalam almari dan kini cuma tinggal sehelai sepinggang.
Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Tumboh, Mohd. Ridzuan Baharuddin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 1.12 pagi sebelum 23 anggota bergegas ke lokasi kejadian untuk memadam kebakaran melibatkan sebuah rumah papan. – KOSMO! ONLINE