PASUKAN jurutera dari Switzerland berjaya menghasilkan satu inovasi robot pesawat yang diinspirasikan daripada robot burung yang boleh beroperasi di pelbagai persekitaran.
Dikenali sebagai RAVEN, robot pesawat itu direka mempunyai kaki seperti burung yang boleh berjalan, melompat dan berlepas untuk terbang.
Ini menjadikan RAVEN sebagai satu bentuk kejayaan kejuruteraan yang membolehkan ia berlepas meskipun di kawasan tidak rata.
Menurut perekanya, Won Dong Shin, idea rekaan robot pesawat tersebut datang daripada pemerhatiannya terhadap burung.
“Saya sangat suka menonton burung kerana haiwan itu menarik dan keupayaannya untuk menggabungkan pergerakan udara serta darat.
“Ini membolehkan burung mengakses tempat yang tidak dapat dicapai oleh manusia dengan mudah.
“Ia telah memberi inspirasi kepada saya untuk mempertimbangkan potensi robot seperti burung dalam pelbagai bidang, khususnya buat misi penghantaran, mencari dan menyelamat,” katanya.
Tambahnya, dia memerhati burung dengan teliti dan mendapati cara ia melompat untuk berlepas adalah sangat menarik.
Kongsinya, walaupun pesawat konvensional diilhamkan oleh burung, namun ia bergantung kepada landasan atau pelancar untuk berlepas, tidak seperti burung.
Oleh yang demikian, Dong Shin mendapati, idea mencipta robot pesawat tanpa bergantung kepada landasan atau pelancar menjadi cabaran penyelidikan tersebut.
Dalam penyelidikan, Dong Shin dan pasukan berdepan cabaran alam mengadaptasi fungsi kaki burung dan keupayaannya untuk mekanisme robot kerana sistemnya kompleks atau berat untuk terbang dengan betul.
“Saya dan rakan-rakan mengatasi cabaran kejuruteraan ini untuk mereka bentuk robot dengan anggota badan yang boleh bergerak seperti burung.
“Anggota badan ini mempunyai struktur yang menyerupai pinggul, buku lali dan kaki, walaupun reka bentuknya tidak sekompleks seperti anatomi kaki yang dilihat pada burung,” ujarnya.
Katanya lagi, RAVEN boleh melompat ketika berlepas, sama seperti burung, dan ia juga menyumbang kepada kelajuan penerbangan, serta lebih cekap tenaga daripada berlepas tanpa lompat.
Walaupun penambahbaikan lanjut diperlukan, namun reka bentuk kaki RAVEN boleh memberi inspirasi kepada mesin yang lebih serba boleh dengan menggunakan pelbagai cara untuk bergerak.