KUALA LUMPUR – Kementerian Digital akan melancarkan platform pembelajaran dalam talian yang baharu iaitu Rakyat Digital, esok susulan kejayaan ‘AI Untuk Rakyat’.
Timbalan Menteri Digital, Datuk Wilson Ugak Kumbong berkata, Program tersebut adalah inisiatif bertujuan untuk melengkapkan rakyat dengan kemahiran dan pengetahuan digital untuk berkembang dalam ekonomi digital yang sentiasa berubah.
“Menerusi platform ini, setiap lapisan masyarakat boleh mendapatkan pengetahuan umum dalam aspek teknologi baharu termasuk dalam bidang kecerdasan buatan (AI).
“Ia sebagai satu saluran pembelajaran interaktif bagi memperluas pengetahuan umum berhubung teknologi digital serta membina bakat baharu mengikut modul khusus yang disediakan,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan dari Tan Kar Hing (PH-Gopeng) yang memintanya menyatakan pencapaian program ‘AI untuk Rakyat’ dan kesiapsiagaan ekosistem pembelajaran AI di institusi pendidikan, sektor swasta serta kerajaan.
Sementara itu, Wilson berkata, Sehingga 9 Disember 2024, program ‘AI Untuk Rakyat’ telah mencapai seramai 1.30 juta peserta daripada pelbagai kumpulan, termasuk pelajar, profesional dan pegawai kerajaan.
“‘AI Untuk Rakyat’ merupakan program selaras dengan inisiatif Pelan Ekonomi Digital Malaysia dan strategi IR 4.0.
“Ia menekankan pembinaan populasi yang celik teknologi, memupuk inovasi dan mengurangkan jurang kemahiran digital,” katanya.
Tambah beliau, menerusi Pejabat Kecerdasan Buatan Kebangsaan atau National AI Office (NAIO) yang baru sahaja ditubuhkan, Kementerian Digital akan bekerjasama dengan setiap entiti tersebut bagi merangka modul pembelajaran AI bersesuaian mengikut kumpulan sasar.
Jelasnya, pihak kementerian juga mengambil perhatian berhubung aspek pembelajaran AI dibangunkan secara holistik dan inklusif di setiap peringkat merangkumi institusi pendidikan, sektor swasta dan Kerajaan. – KOSMO! ONLINE