KUALA LUMPUR – Malaysia menggesa peralihan kuasa di Syria berjalan dengan aman tanpa sebarang perpecahan sektarian.
Menegaskan perkara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sebagai negara Islam, Malaysia mahu melihat Syria bangkit sebagai sebuah negara merdeka dan bersatu.
“Kami menyeru peralihan secara aman yang menghormati pelbagai komuniti masyarakat dan perpecahan sektarian (perbezaan politik) mesti ditolak.
“Perpaduan mesti dipegang sebagai prinsip panduan untuk membina semula negara. Kami mempunyai tanggungjawab untuk menyokong Syria yang merdeka dan bersatu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap ketika merasmkikan Sidang Kumpulan Visi Strategik: Interaksi Antara Russia dan Dunia Islam di sini, hari ini.
Tambah Perdana Menteri, Malaysia sentiasa memantau perkembangan di Syria setiap hari.
Terdahulu, media melaporkan, pemerintah keluarga Assad selama lima dekad di Syria berakhir selepas pejuang pembangkang menguasai Damsyik Ahad lalu.
Presiden Syria, Bashar al-Assad yang memegang kuasa selama 24 tahun selepas menggantikan bapanya dilaporkan melarikan diri dari negara itu.
Pemerintahan Assad menghadapi tekanan sejak 2011 apabila demonstrasi Arab Spring bertukar menjadi perang saudara.-KOSMO! ONLINE