MELAKA – Seorang pengurus syarikat insurans membuat laporan polis selepas mendakwa diserang individu bergelar Datuk Seri dan empat yang lain di sebuah restoran di sini bulan lalu.
Mangsa, Muhammad Nur Hakim Baharudin, 30, membuat dua laporan polis berhubung kejadian pada 14 November itu dan masih menunggu tindakan lanjut daripada pihak berkuasa.
Lelaki itu juga memberi kerjasama bagi membantu siasatan berserta bukti iaitu rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di restoran berkenaan.
“Kejadian berlaku pada pukul 8.30 malam di Taman Melaka Raya apabila saya dan seorang rakan menemu duga wanita iaitu bekas pekerja syarikat Datuk Seri berkenaan yang ingin bekerja di syarikat kami.
“Secara tiba-tiba lima individu dikenali iaitu tiga lelaki dan dua wanita termasuk Datuk Seri tersebut mengeluarkan kata-kata kesat terhadap saya sebelum mengetuk kepala saya dengan tangan,” katanya pada sidang akhbar hari ini.
Menurut Muhammad Nur Hakim, dia turut ditumbuk oleh seorang lagi individu sehingga kepalanya terhantuk ke dinding.
Menerusi laporan polis yang ditunjukkan, lelaki itu mendakwa dia tidak membalas serangan tersebut kerana terkejut.
“Saya percaya wanita yang ditemu duga pada hari kejadian mungkin sengaja dihantar oleh Datuk Seri berkenaan kerana tidak berpuas hati selepas beberapa pekerjanya sebelum ini berhenti dan menyertai syarikat saya.
“Saya membuat laporan di Balai Polis Tengkera pada 28 November lalu dan masih menunggu tindakan undang-undang dikenakan terhadap mereka,” katanya.
Sementara itu, wakil peguam Sa’eed Khaliq memberitahu, kekasaran sehingga mendatangkan kecederaan terhadap anak guamnya itu mempunyai bukti kukuh menerusi rakaman CCTV untuk membantu pihak berkuasa. – KOSMO! ONLINE