BANGKOK – Seorang pelancong warga Russia diselamatkan dalam keadaan bogel selepas hanyut di tengah laut di Pulau Koh Lan, Thailand, lapor akhbar Bangkok Post semalam.
Penemuan itu berlaku pada Ahad lalu apabila seorang pengendali bot laju, Pracharat Satsuk, 34, membawa 20 pelancong ke pulau tersebut.
“Saya ternampak seorang lelaki warga Russia terapung dalam keadaan bogel dan keletihan di antara Jeti Bali Hai dan Koh Lan.
“Saya bergegas melemparkan pelampung dan menariknya ke atas bot sebelum memberikannya tuala dan air.
“Anggota tubuhnya mempunyai kesan luka. Mujur arus tidak kuat dan dia tidak dihanyutkan terlalu jauh. Jika tidak bernasib baik, dia mungkin dilanggar kipas bot,” kata Satsuk.
Pelancong itu cuba berenang dari Pattaya ke Koh Lan pada malam Sabtu tetapi gagal, menyebabkan dia hanyut di tengah laut. – AGENSI