KUALA LUMPUR – Impian beregu wanita No. 1 negara, Pearly Tan-M. Thinaah membuka kempen Jelajah Dunia Akhir (WTF) 2024 di Hangzhou, China dengan kemenangan tidak berhasil apabila tumpas di tangan pasangan Jepun, Nami Matsuyama-Chiharu Shida hari ini.
Pada aksi Kumpulan A tersebut, Pearly-Thinaah mempamerkan saingan sengit, namun gagal mengekalkan momentum cemerlang sebelum tewas kepada pasangan No. 4 dunia itu 21-13, 17-21, 18-21 dalam tempoh 74 minit.
“Ia bukan mudah bermain menentang mereka. Kami mempunyai kelebihan dalam beberapa situasi tetapi tidak berjaya memanfaatkan sepenuhnya.
“Kami mendahului dengan baik di set kedua tetapi gagal mengekalkannya. Mereka bermain dengan cukup baik,” kata Thinaah kepada BWF sejurus tamat perlawanan hari ini.
Pasangan Malaysia itu kini berdepan misi wajib menang apabila bertemu wakil India, Treesa Jolly-Gayatri Gopichand esok untuk mengekalkan peluang mara ke separuh akhir.
Terdahulu, pasangan India itu tumpas selepas bermandi peluh menentang gandingan No. 1 dunia dari China, Liu Sheng Shu-Tan Ning 22-20, 20-22, 14-21 dalam tempoh 82 minit.
Hanya dua pasangan terbaik daripada setiap kumpulan akan layak ke pusingan separuh akhir dalam kejohanan terakhir musim ini. – KOSMO! ONLINE