WASHINGTON – Sebuah ‘supercar’ McLaren bernilai hampir AS$200,000 (RM886,000) terputus dua dalam satu kemalangan ngeri di Texas, Amerika Syarikat (AS), menyebabkan dua orang maut, lapor akhbar New York Post semalam.
Gambar di lokasi nahas menunjukkan kereta mewah berwarna hitam itu terputus dua selepas ia merempuh sebuah Toyota Corolla dan sebatang pokok berhampiran persimpangan Abrams Road dan Royal Lane di Dallas. Kejadian berlaku sekitar pukul 3 petang (waktu tempatan).
Cristobal Flores Espino, 29 dan Robert Leroy Rocha, 31, yang kedua-duanya berada dalam kereta tersebut meninggal dunia.
Kereta Toyota terbabit turut melanggar pokok dan mengalami kerosakan teruk di bahagian hadapan, manakala pemandunya dibawa ke hospital serta mengalami cedera ringan.
Tidak jelas punca nahas itu tetapi polis berkata, siasatan sedang dijalankan.
Kereta model McLaren 570S itu dijual pada harga permulaan AS$191,000 (RM845,000) dan boleh mencapai 98 kilometer sejam dalam masa 3.2 saat. – AGENSI