PETALING JAYA – Malaysia merekodkan pelaburan yang diluluskan dalam pelbagai sektor ekonomi bernilai RM254.7 bilion bagi tempoh sembilan bulan pertama, tahun ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, jumlah tersebut meningkat sebanyak 10.7 peratus berbanding tahun lalu yang berjumlah RM230.2 bilion.
Beliau berkata, nilai tersebut membabitkan 4,753 projek yang dijangka akan menjana sejumlah 159,347 peluang pekerjaan baharu.
“Perkara ini dimaklumkan sewaktu saya mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pelaburan Negara (MPN) Bilangan 8 Tahun 2024 terkait soal prestasi pelaburan,”kongsinya di laman Facebook, semalam.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, MPN juga telah bersetuju dan mengesahkan Garis Panduan bagi Pembangunan Pusat Data Mampan yang mengandungi metrik kecekapan Keberkesanan Penggunaan Tenaga (PUE) dan Keberkesanan Penggunaan Air (WUE).
Kata Perdana Menteri, garis Panduan itu akan digunapakai sebagai syarat kelayakan insentif cukai di bawah Skim Pecutan Ekosistem Digital (DESAC).
Ini kerana katanya, ia adalah inisiatif penambahbaikan polisi terkait usaha memacu pelaburan bagi pusat-pusat data negara ini.
“Kerajaan Madani berterusan menambah baik dasar sedia ada dan mewujudkan dasar-dasar baharu sebagai langkah meningkatkan daya saing negara,” katanya. – KOSMO! ONLINE