GEORGE TOWN – Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) perlu dirancang serta dilaksanakan dengan sebaik mungkin bagi memastikan Malaysia mencapai status negara maju dalam tempoh 2027 hingga 2029.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, ini kerana Malaysia telah dua kali terlepas peluang untuk jadi negara maju iaitu pada 2012 dan 2026.
“Mengikut unjuran dengan pertumbuhan seperti sekarang dan juga kadar matawang pada peringkat sekarang, kita akan menjadi negara pendapatan tinggi iaitu ukuran untuk menjadi negara maju seawal 2027.
”Unjuran yang lebih praktikal adalah 2028 dan kalau terlajak sedikit pun, saya ingat dalam 2029, kita akan menjadi negara maju,” katanya ketika berucap dalam sesi libat urus RMK13, di sini hari ini.
Menurut Rafizi, pertumbuhan ekonomi mampan pada kadar empat peratus hingga lima peratus adalah kritikal bagi memastikan negara dapat menyesuaikan diri dengan status negara maju.
“Apabila menjadi negara maju, pertumbuhan ekonomi selalunya lebih perlahan, sekitar 2 peratus hingga 3 peratus.
“Malaysia perlu mencipta enjin pertumbuhan baharu yang lebih dinamik agar kita dapat mengekalkan momentum pada kadar yang lebih tinggi,” katanya.
Sementara itu, Rafizi berkata, sesi libat urus RMK13 bersama kerajaan Pulau Pinang adalah sangat penting memandangkan negeri itu merupakan negeri yang sangat penting dalam
perancangan ekonomi negara.
”Pulau Pinang adalah antara penyumbang eksport terbesar di negara kita dan kehadiran sektor elektrik dan elektronik (E&E) yang matang serta sekarang ini sedang memberi tumpuan untuk membangunkan industri yang berasaskan kecerdasan buatan (AI) yang selaras dengan aspirasi kerajaan Pusat,” katanya. – KOSMO! ONLINE