PETALING JAYA – Malaysia dan Australia memperkukuhkan kerjasama antaranya dalam pembangunan doktrin pertahanan serta keselamatan siber dan kecerdasan buatan (AI) pada masa akan datang.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, dalam masa sama kedua-dua negara turut membincangkan soal pembangunan ketumbukan siber yang dilihat penting kini.
Menurutnya, perkara berkenaan dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tinggi (HLC) bagi Program Pertahanan Bersama Malaysia-Australia (MAJDP) ke-4 dipengerusikan oleh beliau bersama Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pertahanan Australia, Richard Marles di Commonwealth Parliament Offices, Melbourne semalam.
“Selain itu, berkenaan hubungan pertahanan sedia ada. Antaranya, melalui Operasi Gateaway, eksesais-eksesais seperti HARINGAROO dan Keris Strike, Five Power Defence Arrangements (FPDA) serta MAJDP sendiri.
“Kedua-dua negara menghargai sumbangan masing-masing dalam konteks pengukuhan kerjasama sedia ada,” katanya pada hantaran Facebook.
Beliau berkata, perbincangan lain ialah berkenaan isu dan perkembangan geopolitik serta pertahanan di ASEAN dan seluruh dunia.
“Lebih-lebih lagi Malaysia sedang memuktamadkan persiapan sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun hadapan,” katanya.
Mohamed Khaled berkata, Australia mengiktiraf peranan dimainkan Malaysia dalam memeta ASEAN yang dilihat berfungsi dengan cukup baik dan negara tersebut akan sentiasa memberikan perhatian terhadapnya.
“Kedua-dua buah negara akan memastikan rancangan kerjasama khususnya dalam pelan lima tahun ke hadapan diperkemas agar lebih berstruktur dan teratur, termasuklah dalam soal meningkatkan keupayaan domain maritim serta pembangunan kapasiti pertahanan Malaysia,” katanya. – KOSMO! ONLINE