fbpx

Lelaki nekad terjun Vellfire, gagal seludup syabu RM3.52 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nor Izah (kanan) menunjukkan kerosakan pada Toyota Vellfire selepas suspek bertindak melanggar kenderaan kastam ketika mahu melarikan diri di Pokok Sena pada 4 Disember lalu.

BUKIT KAYU HITAM – Seorang lelaki disyaki penyeludup dadah nekad terjun dari kenderaan pelbagai guna (MPV) yang sedang bergerak selepas merempuh kenderaan pasukan penguat kuasa ketika cuba meloloskan diri di Pokok Sena pada 4 Disember lalu.

Dalam kejadian pada pukul 8.30 pagi itu, lelaki tempatan berusia dalam lingkungan 40-an tersebut kemudian melarikan diri sejauh 500 meter ke kawasan kebun getah berhampiran, namun berjaya diberkas pihak berkuasa.

Hasil pemeriksaan ke atas MPV jenis Toyota Vellfire yang disewa lelaki itu menemukan sebanyak 110 kilogram (kg) dadah jenis methamphetamine bernilai RM3.52 juta.

Pengarah Kastam Kedah, Nor Izah Abd. Latiff berkata, bertindak atas maklumat, pegawai Cawangan Penguatkuasaan Bukit Kayu Hitam dan pasukan elit Customs Operational Battle Force Response Assault (Cobra) mengesan MPV tersebut dalam keadaan mencurigakan.

“MPV berwarna putih itu dipandu laju dari Taman Bandar Sejahtera menghala ke Jalan Kampung Tok Kun, Pokok Sena. Pemandu MPV kemudian memecut sebaik menyedari kehadiran pegawai kastam.

“Pegawai kastam mengejar sejauh hampir satu kilometer dan cuba menghalangnya, namun suspek merempuh kenderaan pasukan sebelum terjun dari MPV yang masih bergerak dipercayai kerana panik,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat Penguatkuasaan JKDM, di sini hari ini.

Menurut beliau, MPV tersebut kemudian terbabas ke kawasan parit dan suspek berjaya diberkas di kawasan kebun getah berhampiran tanpa sebarang kecederaan.

Jelasnya, semasa diberkas, pihaknya mendapati tiada sebarang pengenalan diri ditemukan bersama suspek.

“Modus operandi suspek dipercayai menggunakan MPV mewah untuk menyeludup dadah bagi mengaburi pihak berkuasa.

“Dia (suspek) dipercayai dalam perjalanan membawa dadah itu ke Lembah Klang untuk pasaran gelap di sana,” katanya sambil memberitahu pihaknya masih menyiasat lokasi dadah itu diperoleh.

Suspek yang bekerja sebagai pemandu mempunyai rekod kes dadah dan direman sejak 5 Disember lalu bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sementara itu, JKDM Kedah membuka sebanyak 299 kertas siasatan atas pelbagai kesalahan penyeludupan di bawah Akta Kastam 1967, manakala sembilan kes disiasat di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 pada tahun ini setakat 4 Disember lalu.

Ia menjadikan nilai rampasan berjumlah RM20.899 juta dan duti/cukai RM14.057 juta menjadikan jumlah perolehan nilai kes semasa JKDM Kedah sehingga 4 Disember lalu sebanyak RM34.957 juta. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI