KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) merancang untuk memperluaskan kelas hibrid daripada 110 kepada 400 buah sekolah melibatkan peruntukan berjumlah RM340 juta.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, cadangan perluasan itu dibuat susulan maklum balas positif diterima KPM bahawa kelas hibrid membantu proses pengajaran dan pembelajaran (PdP).
“KPM mendapat maklum balas positif daripada guru yang mana terdapat permintaan untuk tambahan kelas dan cadangan untuk penambahbaikan serta cadangan bagi tambahan latihan penggunaan secara berkala selain aspek keselamatan peralatan dalam kelas.
“Perluasan kelas hibrid itu di bawah Projek RMK12 RP 5 mulai tahun hadapan sehingga 2029 dan ia juga akan diseragamkan kepada 15 lokasi termasuk pusat sumber, bilik pentadbiran dan kelas hibrid.
“Projek ini merangkumi tiga skop utama iaitu pendawaian elektrik dengan peruntukan RM20 juta, RM150 juta untuk peranti dan RM167 juta untuk rangkaian internet,” katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Jalamudin Yahya (PN-Pasir Salak) yang meminta kementerian menyatakan sekiranya terdapat kajian terhadap keberhasilan projek rintis kelas hibrid sebagai proses PdP baharu, termasuk institusi pendidikan dan sekolah terpilih di seluruh negara.
Jelas Kah woh, hasil maklum balas guru, antara yang dicadangkan adalah mewujudkan lebih banyak video-video pengendalian dan penggunaan kemudahan untuk memudahkan guru-guru membuat penerokaan sendiri dan belajar mengendalikan peralatan serta kemudahan yang disediakan.
Katanya, KPM akan terus menyokong usaha tersebut dengan menambah baik keperluan dari segi latihan, infrastruktur, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) termasuk capaian internet dan keselamatan kelas hibrid.
“Oleh itu, pakar dari pelbagai bidang dapat dilibatkan bagi meningkatkan kualiti penyampaian pendidikan dalam kalangan guru dan murid.
“Melalui pelaksanaan rintis kelas hibrid ini, semua kelas tersebut dinaik taraf dari segi pendawaian elektrik dan juga kelas serta kelengkapan kemudahan peralatan digital seperti ‘smartboard, televisten pintar, set kamera, perakam suara dan sebagainya.
“Infrastruktur rangkaian dalaman juga dinaik taraf bagi membolehkan capaian internet disediakan di semua kelas yang terbabit,” katanya. – KOSMO! ONLINE