fbpx

KKM digesa siasat hospital tahan mayat bayi 16 hari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Wakil Perikatan Nasional (PN) menggesa siasatan dan tindakan tegas termasuklah undang-undang diambil terhadap sebuah hospital swasta yang didakwa menahan mayat seorang bayi lelaki selama 16 hari di dalam peti mayat.

Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, perkara tersebut amat menyayat hati dan tidak mayat bayi itu tidak sepatutnya dibiarkan sehingga dua minggu.

“Kenapa pihak hospital dan pengurusannya boleh mengizinkan perkara ini berlaku ke atas jenazah umat Islam?

“Oleh itu, Kami menuntut kerajaan dan Kementerian Kesihatan KKM untuk menyiasat sehingga ke ‘lubang cacing’ bagi mengetahui perkara sebenar.

“Perlu kenakan tindakan tatatertib dan undang-undang kepada pihak pengurusan hospital, pada mana-mana yang bertanggungjawab menguruskan kes ini, kecuaian atau tidak perikemanusiaan terhadap keluarga allahyarham ini,” katanya semasa sidang akhbar di Pusat Media di Bangunan Parlimen, hari ini.

Sehubungan itu, beliau menggesa KKM untuk melakukan siasatan dan mengenakan tindakan terhadap hospital swasta berkenaan.

Terdahulu, media melaporkan, satu mayat bayi lelaki didakwa ‘ditahan’ dalam peti mayat di sebuah hospital swasta dipercayai selepas bapanya tidak mempunyai wang untuk menuntut jenazah tersebut.

Kisah pilu itu dimuat naik pada Facebook pengurusan jenazah Islam Mr Wan Chai Official yang mengambil tanggungjawab untuk menguruskan jenazah bayi berkenaan.

“Kami menghadapi masalah sewaktu hendak menguruskan jenazah wildan syurga adik Muhammad Adham Mikail. Hancur luluh bila melihat jenazah anak tanpa dosa ini 100 peratus beku.

“Bayangkan bayi yang sudah meninggal dunia pada 24 November ditahan selama dua minggu dan diletakkan dalam peti sejuk.

“Perkara ini berlaku asbab si ayah tidak mampu membayar bil bagi caj kelahiran anaknya di sebuah hospital swasta,” katanya pada hantaran tersebut.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kuala Langat, Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi berkata, tindakan hospital tersebut sangat mendukacitakan dan tidak berperikemanusiaan apatah lagi turut menahan ibu bayi berkenaan.

“Sepatutnya atas prinsip kemanusiaan pengurusan hospital ini dan mungkin tanggungjawab sosialnya, mereka seharusnya mempunyai perasaan supaya anak kecil atau bayi yang meninggal ini diuruskan secepat mungkin.

“Kalau tidak pun, seharusnya pengurusan hospital boleh melorong kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) atau Lembaga Zakat Selangor (LZS) yang boleh membantu kalau benar-benar keluarganya memang tidak berkemampuan menyelesaikan kos ditanggung. Banyak lagi sumber-sumber yang boleh membantu,” katanya.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI