fbpx

Kerajaan berjaya halang PetroSaudi guna dana RM1.61 bilion berkait 1MDB

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Kerajaan Malaysia berjaya dalam permohonannya untuk menyekat PetroSaudi International Ltd (PSI) dan Pengarahnya, Tarek Obaid daripada menggunakan dana berjumlah AS$340 juta (RM1.61 bilion) yang dikaitkan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ahmad Shahrir Mohd. Salleh memutuskan demikian selepas membenarkan perintah larangan yang difailkan Pendakwa Raya pada 2020.

Mahkamah turut berpuas hati terdapat bukti mencukupi yang menunjukkan dana terbabit berkaitan dengan aktiviti pengubahan wang haram.

Dalam penghakimannya, Ahmad Shahrir berkata, selagi keterangan yang dikemukakan menunjukkan dana berkaitan peruntukan seksyen pengubahan wang haram, mahkamah wajib membuat perintah yang melarang pihak terbabit daripada berurusan dengannya.

“Peruntukan yang dimaksudkan ialah Seksyen 53 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA).

“Seksyen itu menyatakan, pendakwa raya boleh membuat permohonan bagi perintah menghalang mana-mana pihak daripada berurusan dengan harta di luar Malaysia jika berpuas hati ia bersabit perkara atau kesalahan berkaitan dengan pelakuan kesalahan di bawah Subseksyen 4(1) iaitu pengubahan wang haram,” ujarnya.

Dalam prosiding hari ini, Timbalan Pendakwa Raya Norinna Bahadun bagi pihak kerajaan, peguam Alex Tan mewakili PSI, PSOS-VZ dan Temple Fiduciary Services, manakala Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden bertindak bagi pihak Obaid.

Pada 2020, mahkamah membenarkan permohonan kerajaan bagi perintah sementara menghalang pihak terbabit daripada memindahkan wang yang dikaitkan dengan 1MDB dan menyimpannya dalam akaun escrow yang dipegang Clyde & Co.

Perintah itu adalah bagi mengekalkan status quo pihak terbabit sehingga pelupusan permohonan kerajaan bagi mendapatkan perintah menghalang sebarang urusan membabitkan wang milik PSI dan anak syarikatnya PSOS-VZ, yang kini berada dalam akaun berkenaan.

Pada Ogos tahun ini, media antarabangsa melaporkan Mahkamah Jenayah Persekutuan Switzerland mensabitkan Obaid atas kesalahan penyelewengan dana AS$1.8 bilion daripada 1MDB dan dijatuhkan hukuman penjara tujuh tahun.

Sebelum ini, pada September 2020, Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) memfailkan permohonan melucut hak bagi mendapatkan aset tambahan bernilai AS$300 juta didakwa berkaitan skandal 1MDB yang dikesan dalam akaun escrow di UK.

DoJ mendakwa dana dalam akaun itu boleh dikesan kepada kredit yang diberikan PSOS-VZ kepada PSOSL berhubung penggunaan dua kapal gerudi yang diperoleh PSI dengan dana penipuan diperoleh daripada 1MDB.

Kerajaan menuntut dana berkenaan yang didakwa berasal daripada dana syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) melalui usaha sama dengan PSI, yang kini disimpan dalam akaun pelanggan firma guaman Clyde & Co LLP bagi pihak PetroSaudi Oil Services (Venezuela) (PSOS-VZ)

PSOS-VZ ialah anak syarikat PetroSaudi Oil Services Ltd (PSOSL), manakala PSOSL ialah unit di bawah PSI, yang diasaskan bersama oleh Tareq. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI