PHNOM PENH – Kerajaan Kemboja mengharamkan penjualan minuman tenaga di sekolah selepas negara itu menyaksikan peningkatan pesakit diabetes dalam kalangan golongan muda, lapor portal berita Social News XYZ semalam.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pendidikan, Belia dan Sukan, Hang Chuon Naron berkata, langkah itu bertujuan mencegah risiko penyakit tidak berjangkit yang berpunca daripada pengambilan minuman tenaga dan bergula.
“Penggunaan, pengedaran, penjualan dan pengiklanan semua jenis minuman tenaga di dalam dan sekitar sekolah adalah dilarang sama sekali.
“Larangan itu berkuatkuasa di semua institusi pendidikan awam dan swasta serta institusi pendidikan teknikal di seluruh negara,” tambah Naron.
Tambah Naron, semua sekolah perlu mengingatkan pelajar tentang kesan pengambilan minuman tenaga semasa perhimpunan.
Naron juga mengarahkan sekolah untuk merampas minuman tersebut daripada penjual di dalam dan luar sekolah, selain menamatkan kontrak sewa sekiranya mereka melanggar peraturan.
Larangan itu dilaksanakan beberapa jam selepas Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet melaporkan peningkatan kes diabetes selain mengarahkan Kementerian Pendidikan, Belia dan Sukan untuk mengambil tindakan lanjut. – AGENSI