PETALING JAYA – Bapa kepada bayi lelaki yang tular susulan jenazahnya didakwa ‘ditahan’ oleh hospital swasta lebih dua minggu, telah dimaklumkan oleh doktor untuk menguruskan pengebumian anaknya keesokan hari.
Hospital Bersalin Razif (HBR) menerusi kenyataanya menjelaskan, dalam masa sama ibu bayi tersebut juga dalam keadaan sihat serta dibenarkan keluar dari wad.
“Permit pengebumian telah ditandatangani dan doktor memaklumkan kepada ‘suami’ untuk menguruskan pengebumian pada keesokan harinya.
“Bagaimanapun, lelaki itu kemudiannya keluar dari hospital kerana dia memberitahu perlu pergi ke tempat lain. Pesakit (ibu) dalam keadaan sihat dan dibenarkan keluar pada hari berikutnya,” kata kenyataan itu hari ini.
Pihak HBR menjelaskan, pada keesokan harinya, ibu bayi tersebut memaklumkan dia tidak dapat menjelaskan jumlah bil sebanyak RM2,480.
“Dia memberitahu dia boleh menguruskan pengebumian dahulu sebelum membayar bil.
“Kemudian, dia memaklumkan ‘suaminya’ akan menguruskan pengebumian, jadi HBR menunggunya mengambil bayi untuk pengebumian,” ujarnya.
HBR menjelaskan pihaknya sentiasa mengingatkan wanita itu untuk meneruskan pengebumian bayi tersebut, tetapi dia mengatakan ‘suami’ sedang menguruskannya.
“Dia dilayan dengan baik, bergaul dengan kakitangan wad, diberikan kaunseling dan makanan percuma. ‘Suami’ datang melawatnya selama beberapa minit sekali dalam dua hingga tiga hari.
“Percubaan untuk bercakap dengannya tentang pengebumian itu gagal. Pengurusan HBR berbincang dengan pesakit untuk mendapatkan polis bagi membantu menyelesaikan pengebumian, tetapi pesakit merayu untuk tidak melibatkan polis.
“Dia memberitahu bahawa semua keputusan adalah daripada ‘suaminya’. HBR cuba mendapatkan kenalan keluarga, tetapi dia enggan memberikannya dan dia mendakwa tinggal di bilik sewa bersama ‘suami’, serta tidak mempunyai saudara atau kawan,” katanya.
Berhubung situasi pada hari kejadian, HBR memberitahu, pesakit tersebut mendakwa dalam kehamilan pertama datang ke hospital itu dalam keadaan hendak bersalin.
“Dia tidak pernah menjalani pemeriksaan antenatal sepanjang kehamilannya. Dia mendakwa memantau kehamilannya hanya menggunakan perisian aplikasi telefon.
“Wanita itu dibawa ke hospital oleh ‘suami’ (dia kemudian mendakwa belum berkahwin). Memandangkan sakit bersalinnya yang kuat, dia dibawa dari kereta ke bilik menggunakan kerusi roda untuk penilaian segera,” katanya.
HBR menerima pesakit tersebut atas dasar kemanusiaan walaupun wanita itu tidak membuat tempahan untuk bersalin di situ selain tidak melalui saringan.
“Dia dibawa ke bilik bersalin dan bersalin serta-merta. Bayi disahkan sindrom cyclops dengan satu mata, tiada hidung dan dubur. ‘Suami’ tidak menemaninya semasa bersalin.
“Doktor juga menerangkan kepada ‘suami’ mengenai keadaan bayi dan memintanya azan. Suntikan rutin diberikan kepada bayi dan dirancang untuk rujukan, namun bayi itu menjadi biru serta meninggal dunia beberapa minit kemudian,” katanya.
Semalam Kosmo! melaporkan satu mayat bayi lelaki didakwa ‘ditahan’ dalam peti mayat di sebuah hospital swasta kira-kira 16 hari, dipercayai selepas bapanya tidak mempunyai wang untuk menuntut jenazah tersebut.
Kisah pilu itu dimuat naik pada Facebook pengurusan jenazah Islam Mr Wan Chai Official yang mengambil tanggungjawab untuk menguruskan jenazah bayi berkenaan.
Bukan sahaja jasad bayi itu didakwa ‘ditahan’ selama 16 hari, ibunya juga dikatakan tidak dibenarkan keluar dari wad sehingga bil dibayar si bapa pada pukul 11 pagi kelmarin. – KOSMO! ONLINE