fbpx

Harimau Malaya tak fikir pesta gol

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PAU MARTI (kiri) mahu pasukannya bangkit memburu kemenangan pertama dalam kempen Piala ASEAN menentang Timor Leste malam ini. - SHIDDIEQIIN ZON

SKUAD Harimau Malaya fokus untuk memburu tiga mata dalam misi wajib menang berbanding berpesta jaringan menjelang aksi kedua Piala Asean 2024 menentang Timor Leste di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), Kuala Lumpur malam ini.

Sebagai rekod, skuad negara sebelum ini memulakan kejohanan berprestij dwitahunan Asia Tenggara itu dengan langkah kiri selepas seri 2-2 bertemu pasukan ranking ke-180 dunia, Kemboja pada Ahad lepas.

Pengendali skuad kebangsaan, Pau Marti Vicente enggan menjadikan kekalahan besar 0-10 Timor Leste kepada Thailand sebagai penanda aras buat pasukannya, sebaliknya mahu mengukur baju di badan sendiri.

Kata Pau Marti, perlawanan itu boleh dianggap sebagai pemanas badan sebelum mengharungi aksi lebih getir menentang Thailand pada perlawanan ketiga Kumpulan A di Bangkok pada Sabtu nanti.

“Kita tidak perlu fikirkan mengenai jumlah gol, sebaliknya kena fikir cara untuk menang dahulu. Saya mahu pasukan fokus dengan permainan berintensiti tinggi.

“Tidak kisah kita bermain dengan pasukan mana sekalipun, saya mahu pemain ada mentaliti untuk menang kerana ini adalah perlawanan yang sangat penting.

“Perlawanan ini bukanlah aksi persahabatan kerana kita perlu mengutip tiga mata untuk membantu misi pasukan dalam usaha melangkah jauh pada kejohanan ini,” katanya pada sidang media pra perlawannan di SNBJ, semalam.

Dalam masa sama, Pau Marti seperti memberi bayangan untuk menyimpan kuku dengan memberi peluang kepada pemain-pemain muda menentang pasukan yang berada di kedudukan ke-196 itu.

“Semua pemain perlu bersedia kerana barisan jurulatih bakal membuat penilaian berdasarkan keadaan.

“Kita ada 26 pemain dalam senarai dan sudah tentu pasukan mahu gunakan semua pemain yang kita fikir dapat membantu pasukan ini meraih kemenangan.

“Saya mahu fokus satu demi satu perlawanan dan selepas aksi menentang Timor Leste barulah kita fikirkan tentang Thailand,” katanya.

Selepas Timor Leste, pasukan negara akan bertemu skuad Gajah Perang di Stadium Rajamangala sebelum melayan kunjungan Singapura di laman sendiri pada 20 Disember depan.

Sejak dianjurkan pada 1996, Harimau Malaya hanya pernah sekali muncul juara pada 2010, manakala kali terakhir bergelar finalis sewaktu edisi 2018.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI