ABU DHABI – Valtteri Bottas mengakui perjalanan kariernya dalam perlumbaan Formula 1 (F1) belum berakhir meskipun terpaksa meninggalkan sukan itu dengan kekecewaan sewaktu Grand Prix (GP) Abu Dhabi pada Ahad lalu.
Bottas menamatkan musim terakhirnya bersama Sauber dengan penuh kekecewaan apabila terpaksa bersara daripada perlumbaan di Litar Yas Marina itu selepas terlibat dalam insiden kemalangan bersama Kevin Magnussen.
Lebih mengecewakan, musim 2024 menjadi detik sukar buat Bottas apabila dia gagal mengutip sebarang mata dalam 24 perlumbaan menyebabkan Sauber mengambil keputusan drastik menggantikannya dengan juara Formula 2, Gabriel Bortoleto.
“Bukan pengakhiran yang terbaik tetapi perkara seperti ini memang berlaku dalam perlumbaan. Semuanya serba tidak menjadi sejak pusingan pertama.
“Saya dikenakan penalti dan akhirnya berada di kedudukan belakang. Kemudian, saya bertembung dengan Kevin Magnussen. Itu salah saya, cuba bertahan dengan tayar lama dan brek terlalu lambat sehingga gagal mengawal jentera.
“Ini bukan cara saya mahu tamatkan perjalanan karier. Sebab itu saya rasakan saya akan kembali,” kata Bottas.
Bottas dijangka menyertai Mercedes sebagai pemandu ketiga pada musim depan untuk menggantikan George Russell dan Kimi Antonelli sekiranya khidmatnya diperlukan.
Selain itu, Bottas juga dikatakan akan menyertai pasukan Cadillac-GM jika pasukan tersebut berjaya dimasukkan dalam perlumbaan F1. – AGENSI