PUTRAJAYA – Bas dalam kategori Completely Knocked Down (CKD) diwajibkan untuk memasang Speed Limiter Device bermula 1 Januari depan sebagai langkah meningkatkan aspek keselamatan jalan raya.
Perkara itu diputuskan kerajaan menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Keselamatan dan Kesesakan Jalan Raya (JKMKKJR) Bil. 3/2024 yang diadakan hari ini sebagai persediaan menjadi Pengerusi ASEAN 2025 dan Tahun Melawat Malaysia 2026.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pemasangan Speed Limiter Device itu akan dibuat
melalui Prosedur Kelulusan Jenis Kenderaan (VTA).
“Langkah itu bertujuan meningkatkan pematuhan had laju dan mengurangkan risiko kemalangan melibatkan kenderaan komersil,” katanya dalam satu kenyataan, di sini tadi.
Selain itu, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Keselamatan dan Kesesakan Jalan Raya (JKMKKJR) berkata, pelaksanaan Lorong Khas Bas sejak 3 Julai 2023 di Jalan Ampang, Jalan Genting Klang dan Jalan Klang Lama turut memberi kesan positif.
Katanya, ia telah meningkatkan jumlah penumpang harian, memendekkan masa perjalanan, dan meningkatkan kelajuan komersil.
“Kejayaan ini telah mendorong perlaksanaan lorong khas bas diperluaskan ke laluan baharu di Lembah Klang serta di Georgetown, Pulau Pinang mulai November 2024.
“Ini termasuk RM10 juta diperuntukkan bagi peluasan lorong khas bas di Jalan Ipoh, Jalan Cheras, dan Jalan Gombak sepanjang 47 kilometer,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE