KUALA LUMPUR – Kejayaan cemerlang beregu badminton lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik di Sukan Olimpik Paris 2024 terus diiktiraf apabila dinobatkan sebagai Pemenang Olimpian Tahunan pada Malam Anugerah Majlis Olimpik Malaysia (MOM) ke-27 sebentar tadi.
Anugerah itu mengiktiraf pencapaian luar biasa mereka yang berjaya menyumbang pingat gangsa buat Malaysia selepas menewaskan pasangan Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen dalam aksi penentuan tempat ketiga pada Ogos lalu.
“Terima kasih MOM dan Presiden, Tan Sri Norza Zakaria atas anugerah yang disampaikan. Anugerah ini memberikan motivasi kepada kami untuk terus beraksi dengan cemerlang,” kata Aaron.
Penganugerahan kepada Aaron-Wooi Yik menjadi tumpuan utama malam berprestij itu, yang kembali dianjurkan buat kali pertama sejak 2019 selepas tertangguh akibat pandemik COVID-19.
Dalam kategori lain, jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang turut diangkat sebagai Pemenang Olimpian Tahunan untuk temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020 selepas meraih pingat perak dalam acara keirin pada Ogos 2021.
Sementara itu, badang negara, Mohamad Aniq Kasdan turut dianugerahkan sebagai Olimpian Tahunan bagi Sukan Komanwel Birmingham 2022, hasil kejayaannya merangkul pingat emas dalam kategori 55 kilogram (kg).
Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria dalam ucapannya memuji usaha atlet negara yang terus konsisten mempamerkan prestasi terbaik di pentas antarabangsa selain menekankan pencapaian atlet adalah hasil perancangan rapi dan sokongan berterusan terhadap pembangunan sukan negara. – KOSMO! ONLINE
Senarai Pemenang Malam Anugerah MOM Ke-27:
Pemenang Olimpian Tahunan bagi Temasya Sukan SEA Vietnam 2021
Kategori Lelaki – Juwaidi Marzuki daripada Sukan Memanah
Kategori Wanita – Nur Dhabitah Sabri OLY daripada Sukan Terjun
Pemenang Olimpian Tahunan bagi Temasya Sukan SEA Kemboja 2023
Kategori Lelaki – Khiew Hoe Yan OLY daripada Sukan Renang
Kategori Wanita – Tan Cheong Min daripada Sukan Wushu
Pemenang Olimpian Tahunan bagi Temasya Sukan Komanwel Birmingham 2022
Kategori Lelaki – Aniq Kasdan OLY daripada Sukan Angkat Berat
Kategori Wanita – Ng Joe Ee daripada Sukan Gimnastik
Pemenang Olimpian Tahunan bagi Temasya Sukan Asia Hangzhou 2022
Kategori Lelaki – Ng Eain Yow daripada Sukan Skuasy
Kategori Wanita – Sivasangari Subramaniam daripada Sukan Skuasy