TUMPAT – Sebanyak 180 premis Taman Bimbingan Kanak-kanak (Tabika) Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) di Kelantan terjejas akibat gelombang pertama banjir, baru-baru ini.
Pengarah Kemas Kelantan, Wan Norlee Wan Ismail berkata, jumlah tersebut melibatkan seluruh daerah kecuali Tabika Kemas di Gua Musang tidak terjejas banjir gelombang pertama.
Katanya, tabika di Tumpat, Pasir Mas dan Rantau Panjang merupakan antara yang paling teruk terjejas apabila ada beberapa premis tenggelam hampir mencecah bumbung.
“Kemas Kelantan masih mengumpul maklumat untuk menilai kerugian melibatkan kerosakan bangunan dan peralatan akibat bencana banjir
“Kerja-kerja pembersihan dilakukan selepas banjir melibatkan 31 tabika di Tumpat agar ia boleh dibuka dan beroperasi sepenuhnya pada minggu depan,” katanya ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Skuad Ihsan Madani Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di Tabika Kemas Teluk Jering, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Wan Norlee memberitahu, keadaan banjir yang berlaku di Kelantan baru-baru ini menjejaskan seramai 8,000 murid dan 400 kakitangan Kemas.
Menurutnya, sebahagian Tabika Kemas sudah beroperasi manakala pembelajaran dilakukan secara pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) untuk premis yang masih terjejas banjir. – KOSMO! ONLINE