LIPIS – Umpan keremut ternyata membawa tuah buat seorang nelayan apabila taut yang dipasang disambar seekor ikan patin buat seberat 6.4 kilogram (kg) bernilai lebih RM1,000 di Sungai Jelai di sini semalam.
Mohd. Syukri Yusof, 50, berkata, taut umpan keremut iaitu sejenis ulat tanah itu dipasang pada pukul 6 petang kelmarin di tebing sungai ketika banyak ikan liar keluar mencari makan sewaktu sungai surut.
Katanya, sudah dua minggu dia gagal menangkap ikan kerana arus Sungai Jelai terlalu deras.
“Bila sampai pada taut yang ditambat pada sebatang pokok, saya dapati tali ditarik dengan kuat dan ikan liar meronta-ronta di permukaan sungai.
“Bila diangkat, saya dapati ia ikan patin buah besar. Sebaik sahaja tiba rumah, saya timbang dan beratnya mencecah 6.4 kg dengan harga RM160 sekilogram,” katanya ketika ditemui
di Kampung Ganding di sini semalam.
Menurut Mohd. Syukri, dia bercadang untuk menjual ikan itu kepada peraih memandangkan harganya mencecah RM1,024.
Tambahnya, ikan itu sesuai dimasak dengan campuran asam tempoyak dan mendapat permintaan dalam kalangan pengusaha restoran di Lipis dan Jerantut.
“Duit itu dapat beli stok barangan dapur selama sebulan di samping barangan nelayan seperti jala dan jaring,” katanya.