KEPUTUSAN seri 2-2 dengan Kemboja di Stadium Phnom Penh kelmarin tidak memberi kesan besar kepada harapan besar Harimau Malaya untuk mara ke separuh akhir Piala ASEAN 2024.
Pengendali negara, Pau Marti Vicente kekal dengan sikap positif dan menganggap keputusan itu sebagai proses pembelajaran buat anak-anak buahnya untuk menjadi lebih baik sebelum meneruskan tiga lagi aksi Kumpulan A bertemu Timor Leste, Thailand dan Singapura.
“Seperti yang kami jangkakan, permainan kali ini agak sukar di mana pasukan tuan rumah mempunyai kelebihan. Sebagai pasukan pelawat, kami kena membiasakan diri dengan tekanan ini.
“Saya tidak boleh merungut tentang bagaimana kami berjuang dan komitmen pemain. Pemain juga agak marah kerana mereka mahu menang dan kami akan terus berjuang untuk mara ke separuh akhir.
“Itulah yang kami mahukan, menang dalam setiap perlawanan walaupun adakalanya ia tidak dapat dicapai. Saya selalu katakan, jika tidak dapat menang, paling penting kami tidak boleh kalah,” katanya.
Dua gol Harimau Malaya dijaringkan oleh Stuart Wilkin dan Fergus Tierney, manakala dua jaringan Kemboja diperoleh menerusi Abdel Kader Coulibaly serta Sa Ty.
Ketika ini, juara bertahan, Thailand sudah membuktikan kualiti mereka selaku pasukan pilihan apabila membelasah Timor Leste 10-0 kelmarin.
Timor Leste akan menjadi lawan seterusnya buat Harimau Malaya pada aksi di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur malam esok.
“Dua sesi (latihan) dan (Jimmy Raymond) memperoleh penampilan pertama. Kesilapan yang berlaku adalah perkara normal dan saya mahu dia terus bekerja keras,” jelas Pau Marti.