KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat hari ini bertukar kecoh apabila Ahli Parlimen Kota Bharu Datuk Seri Takiyuddin Hassan sekali lagi mendesak kerajaan untuk memberi penjelasan berhubung Titah Adendum yang melibatkan permohonan pengampunan Datuk Seri Najib Abdul Razak.
Bagamanapun, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menemplak desakan tersebut dan menyatakan bahawa beliau tidak boleh mengulas lanjut bagi menghormati mahkamah.
“Saya tak boleh jawab, tak faham ke itu. Tiba-tiba sudah percaya dia ‘champion’. saya tengok ucapan dulu berapi-api kecam Najib. Sekarang nak jadi hipokrit.
“Lepas makamah saya akan datang sini untuk jawab. Saya yang bawa kes pengampunan itu untuk dimasukkan dalam agenda,” katanya ketika sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri, di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Takiyuddin (PN-Kota Bharu) sama ada kerajaan tidak bercakap benar mengenai kewujudan Titah Adendum selama ini.
Katanya, ia susulan satu afidavit yang dikemukakan Datuk Mohamad Nizar Najib yang dikatakan dikeluarkan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 bertarikh 29 Januari kepada peguam negara. – KOSMO! ONLINE