SEREMBAN – Seorang warga emas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal ke atas kanak-kanak perempuan yang juga cucu saudaranya berusia 10 tahun pada Oktober lalu.
Tertuduh yang merupakan duda berusia 60 tahun membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datin Surita Budin.
Lelaki itu didakwa melakukan amang seksual fizikal ke atas mangsa dengan cara memeluk dan meraba kanak-kanak itu pada pukul 1.30 tengah hari, 21 Oktober lalu di sebuah kedai makan di Lenggeng, Nilai.
Oleh itu, tertuduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan sebatan.
“Saya seorang duda tidak pernah buat hal macam ini. Mangsa cucu saudara saya, dia salam tangan saya takkan saya tidak boleh cium pipi, dahi dia,” kata tertuduh.
Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 13 Januari depan bagi proses lantikan peguam dan serahan dokumen. – KOSMO! ONLINE