JERANTUT – Puluhan kenderaan terkandas berikutan cerun runtuh di jalan raya antara Kampung Tuit (Kuala Tahan) ke Kampung Mat Daling berdekatan Kampung Kuala Sat dekat sini.
Difahamkan kejadian ikira-kira pukul 12 tengah malam semalam itu berlaku susulan hujan lebat sejak empat hari lalu.
Runtuhan cerun setinggi kira-kira 10 meter menyebabkan tanah termasuk lumpur menutupi laluan menyebabkan kenderaan dari kedua-dua hala terkandas sehingga kini.
Namun kerja pembersihan tanah cerun dan lumpur di atas jalan sedang giat dilakukan sejak awal pagi hari ini.
Seorang penduduk Kampung Kuala Sat, Zulkifli Ahmad, 52, berkata, dia yang hendak keluar membeli barangan keperluan dapur di bandar Jerantut terkandas di laluan tersebut pada pukul 8 pagi hari ini dan terpaksa berpatah balik.
“Keadaan laluan ini dipenuhi tanah, berlumpur dan air yang menggelongsor dari tebing berdekatan dan mengambil masa yang lama untuk dibersihkan sekali gus menimbulkan kesukaran penduduk Ulu Tembeling keluar ke bandar,” katanya.- KOSMO! ONLINE