KOTA BHARU – Seramai 50 mangsa mula berpindah ke sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) di Gua Musang dekat sini susulan hujan berterusan melanda daerah tersebut sejak semalam.
Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melaporkan, setakat pukul 11.45 pagi tadi, kesemua mangsa yang melibatkan 14 buah keluarga itu berlindung di PPS Dewan Semai Bakti, Felda Chiku 7.
Menurutnya, keseluruhan mangsa itu melibatkan 35 orang dewasa, 14 kanak-kanak dan seorang bayi.
Sementara itu, laman web Public Info Banjir melaporkan, dua aliran Sungai Galas di Gua Musang iaitu di Limau Kasturi dan Kampung Lembaga termasuk satu lagi di Chegar Lapan, Kuala Krai ketika ini berada pada paras waspada.
Selain itu, Sungai Golok di Kampung Jenob, Tanah Merah pula mencatatkan bacaan amaran. – KOSMO! ONLINE