TANGKAK – Kegiatan licik satu sindiket menjadikan stor di dalam kebun durian di Sagil di sini untuk memproses arak tiruan sejak lebih setahun lalu berakhir apabila aktiviti haram mereka berjaya dihidu pasukan polis.
Rahsia taktik yang didalangi dua lelaki Maynamar berusia 30 dan 31 tahun itu terbongkar susulan tiga serbuan dilakukan pada 1.24 pagi semalam oleh sepasukan empat pegawai dan 13 anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tangkak.
Ketua Polis Dearah Tangkak, Superitendan Roslan Mohd Talib berkata, dalam serbuan pertama, dua suspek yang terlibat secara langsung diberkas di dalam premis rumah kedai di Sagil.
“Premis ini digunakan sebagai tempat untuk membungkus arak tiruan yang sudah siap ‘diperam’ dan menyimpan stok arak serta rokok seludup.
“Antara yang dirampas dalam serbuan pertama ialah sebuah mesin penutup botol dirampas, tujuh tong biru berisi cecair pati arak dan 23 kotak arak pelbagai jenama mengandungi 322 botol arak pelbagai saiz,”katanya dalam sidang akhbar di IPD Tangkak di sini hari ini.
Roslan berkata, hasil siasatan lanjut membawa kepada serbuan kedua dan ketiga di lokasi berasingan di dua buah stor di dalam kebun durian yang dijadikan tempat untuk ‘peram’ arak.
Ujarnya, dalam serbuan kedua, polis merampas 37 kotak arak pelbagai jenama mengandungi 1,372 botol arak pelbagai saiz dan 1,211 rokok kretek dan putih.
Tambahnya, serbuan ketiga pula membawa kepada rampasan 40 kotak arak pelbagai jenama mengandungi 1,167 botol arak pelbagai saiz.
“Jumlah keseluruhan nilai rampasan adalah sebanyak RM112,484.40 di mana jumlah nilai rampasan rokok adalah RM11,220 manakala jumlah nilai rampasan arak RM 101,264.40.
“Kedua-dua suspek ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 6(1)(c) Imigresen 1959/63,”katanya.-KOSMO! ONLINE