“SAYA dapat rasa satu kepuasan apabila membantu orang kerana saya berasal daripada keluarga yang tidak mewah. Semasa sekolah rendah, saya pernah dihina sebab keluarga saya susah.”
Demikian kata-kata yang keluar daripada mulut Nurul Shuhada Mohd. Faizal, 22, saat dihubungi iGen baru-baru ini.
Pelajar Ijazah Sarjana Muda Hubungan Antarabangsa di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) itu mula melakukan aktiviti sukarelawan dengan membantu orang sejak berusia 15 tahun iaitu ketika di sekolah menengah.
“Ibu bapa selalu mengajar saya supaya sentiasa bersyukur dengan apa yang ada.
“Ibu bapa saya selalu berpesan supaya sentiasa bantu orang lain, walaupun diri sendiri berada dalam kesusahan kerana rezeki itu ada di mana-mana.
“Alhamdulillah, keadaan kewangan keluarga saya semakin bertambah baik sehingga sekarang.
“Pengalaman saya susah dan senang bersama keluarga membuatkan saya lebih bersemangat untuk membantu orang lain,” katanya.
Berasal dari Pulau Pinang, anak kedua daripada tiga beradik itu sedang dalam misi sukarelawan UniSZA bagi membantu mangsa banjir dan pelajar-pelajar yang terjejas.
“Bagi misi banjir, kami di pihak Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) sedang membuat tinjauan tentang status pelajar yang terkandas banjir untuk mengenal pasti mereka bagi tujuan memberi bantuan.
“Kami juga bekerjasama dengan pihak keselamatan UniSZA untuk gerakan memberi bantuan kepada pelajar yang terkandas di rumah sewa,” katanya.
Nurul Shuhada juga merupakan Setiausaha Agung MPP UniSZA Sesi 2024/2025 dan Sekretariat Majlis Kepimpinan dan Latihan Universiti-universiti Malaysia (MAKLUM).
Katanya, dia juga membuat Emergency Rescue Team dengan bantuan Pihak Keselamatan UniSZA dalam usaha membantu memindahkan pelajar terkandas di rumah sewa untuk berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS).
Nurul Shuhada berkata, dia pernah menjalankan sukarelawan bersama penduduk kampung selepas banjir di Kampung Luar, Baling, Kedah iaitu ketika misi Yayasan Sukarelawan Siswan (YSS) dengan mengadakan gotong-royong membersih dewan komuniti.
“Antara perkara manis adalah dapat membina hubungan dan mendapat keluarga baharu.
“Alhamdulillah, dengan aktiviti sukarelawan, saya dapat keluarga angkat yang sangat mengambil berat dan sudi tumpangkan saya di rumah sepanjang misi berlangsung.
“Mereka juga menjaga saya seperti keluarga sendiri,” katanya yang bercita-cita menjadi pegawai tadbir diplomatik dan terus bergiat aktif dalam badan bukan kerajaan yang berfokuskan sukarelawan.