KUALA LUMPUR – Keputusan muktamad sama ada terdapat perubahan kadar kos haji atau dikekalkan pada tahun hadapan, akan diumumkan dalam masa terdekat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar berkata, ia berikutan perkara berkenaan masih berada dalam peringkat akhir perbincangan.
“Masih dalam peringkat akhir untuk dibincangkan. Apabila sudah dimuktamadkan, perlu jumpa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mendapatkan persetujuan.
“Beliau setuju dan beri pandangan, baru ia (kadar kos haji) akan diumumkan,” katanya ketika hadir ke Majlis Penyampaian Biasiswa Al-Falah Madani di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan pihak media apakah terdapat kenaikan kadar kos haji bagi tahun 2025.
Terdahulu media melaporkan, Malaysia masih mengekalkan 31,600 kuota haji untuk jemaah Malaysia, namun permohonan telah dibuat kepada Arab Saudi supaya ia ditambah.
Mohd Na’im ketika itu berkata, perkara itu disampaikan ketika pertemuannya dengan Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr Tawfiq Fawzan Al-Rabiah, Ogos lalu.
Dalam pertemuan itu, beliau telah membangkitkan beberapa perkara penting antaranya permohonan menambah kuota jemaah haji Malaysia bersesuaian dengan populasi rakyatnya. – KOSMO! ONLINE