BINTANG pop terkenal, Britney Spears mengharapkan sambutan Krismas tahun ini dapat memperbaiki hubungannya dengan dua anak lelaki iaitu Sean Preson, 19, dan Jayden James, 18.
Penyanyi berusia 43 tahun itu meletakkan harapan yang tinggi agar dapat meluangkan masa bersama dua anaknya, selain berusaha menjadi ibu yang terbaik.
Menurut sumber, Spears berasa terkilan apabila terpaksa berpisah dengan anaknya yang kini menetap di Hawaii, Amerika Syarikat bersama bapa mereka, Kevin Federline.
“Agak sukar juga Spears yang menetap di California untuk bertemu dengan mereka di Hawaii. Namun, Spears tetap berusaha untuk berbaik dengan mereka sebelum sambutan Krismas,” kata sumber.
Difahamkan Spears kini sedang menjalani rawatan terapi akibat mengalami tekanan emosi, meluahkan hasrat untuk berpindah ke Mexico bagi mengelak daripada diburu media.