PERSIAPAN skuad Harimau Malaya menjelang aksi pembukaan Kumpulan A saingan Piala Asean 2024 menentang Kemboja malam ini sedikit terencat apabila kelibat dron asing dilihat cuba mengintip sesi latihan pasukan itu yang mahu membuka kempen kali ini dengan langkah kanan.
Situasi tersebut jelas mengundang rasa kecewa ketua jurulatih, Pau Marti Vicente yang mendakwa kelibat dron tersebut mula kelihatan sejak sesi latihan pertama sejak tiba di Phnom Penh, namun tidak dapat mengesahkan sama ada ia adalah daripada pasukan Kemboja atau pihak lain.
Bagaimanapun, beliau mengakui situasi itu tidak mengganggu fokus para pemain yang dapat meneruskan sesi latihan seperti biasa apabila berhasrat untuk menepati ramalan menewaskan pasukan itu apabila memiliki kelebihan kedudukan ranking berbanding Kemboja yang menghuni tangga ke-180 dunia.
Biarpun Malaysia memiliki kedudukan yang jauh lebih baik, Pau Marti enggan para pemainnya memandang mudah keupayaan Kemboja yang disifatkan semakin meningkat prestasi ekoran kehadiran beberapa pemain bertaraf naturalisasi ketika ini.
Sebagai rekod, skuad negara tidak pernah tewas kepada Kemboja dalam aksi kompetitif sejak 1995 dan kali terakhir Harimau Malaya menentang Kemboja adalah ketika menang 4-0 pada aksi persahabatan pada tahun 2022 di Kuala Lumpur.