LONDON – Jorge Martin percaya pasukan Ducati kini mungkin menyesal kerana tidak memilihnya untuk mengisi kerusi pasukan utama mereka bagi musim 2025 sejurus dia berjaya mengalahkan Francesco Bagnaia dalam perebutan gelaran juara 2024.
Martin yang bersaing bersama pasukan satelit Ducati, Pramac Racing bagi tempoh empat tahun telah dinafikan peluang untuk dinaikkan pangkat ke pasukan kilang.
Sebaliknya, Ducati memilih juara enam kali MotoGP, Marc Marquez kerana pengaruh yang dimilikinya selain turut menolak untuk menyertai Pramac walaupun ditawarkan jentera motosikal kilang.
Keputusan tersebut dibuat sewaktu Grand Prix (GP) Itali pada bulan Jun, semasa Martin masih bersaing sengit dengan Bagnaia untuk gelaran juara.
Pada akhirnya, Martin membuktikan dia adalah pelumba terbaik selepas menoktahkan kemenangan dengan muncul juara dunia dengan hanya menggunakan motosikal satelit.
“Semasa keputusan ini dibuat, saya belum menjadi juara dunia. Sukar untuk meramalkan perkara seperti ini, tetapi jelas sekali sekarang mereka mungkin menyesalinya. Tetapi, anda perlu tanya mereka, saya hanya menjaga diri sendiri,” kata Martin.
Martin membuat keputusan beralih ke pasukan utama Aprilia pada 2025 dan bergabung dengan pelumba Itali, Marco Bezzecchi. – AGENSI