KOTA BHARU – Penduduk di Kuala Krai yang dijangka terjejas dengan gelombang seterusnya banjir bermula esok diingatkan supaya berpindah lebih awal sebagai langkah keselamatan agar tidak terkepung di rumah.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, sehubungan itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) sudah bersiap sedia untuk digerakkan seberapa segera ke lokasi yang terjejas banjir di daerah berkenaan.
Menurutnya, masyarakat sekeliling perlu peka dengan cuaca ketika ini yang dinamik dan sering berubah semasa musim tengkujuh.
“Justeru, penduduk di Kuala Krai perlu mengambil langkah awal untuk berpindah atau menyelamatkan harta benda terlebih dahulu sebelum pasukan bomba sampai.
“Petugas bomba sentiasa bersiap sedia dan melakukan pemantauan melibatkan kawasan ditenggelami banjir,” katanya ketika ditemui pemberita pada Program Komuniti Sihat dan Santun Kasih Kota Lama di Dewan Perniagaan Cina di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Aiman Athirah memberitahu, penduduk di negeri dan kawasan lain yang terlibat dengan banjir gelombang seterusnya perlu lebih berwaspada bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini. – KOSMO! ONLINE