fbpx

Program Mentor PKS Nestle pacu industri halal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Program mentor Nestle banyak memberi manfaat kepada semua peringkat PKS tempatan.

PETALING JAYA – Program Mentor Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang dibangunkan oleh Nestle (Malaysia) Berhad (Nestle) pada tahun 2009 telah berkembang dengan pesat dan sehingga kini memberi kesan positif terhadap 1,357 peserta daripada 974 syarikat yang menyertainya.

Pada tahun 2023 pula, syarikat telah bekerjasama dengan 76 individu daripada 51 syarikat.

Pengerusi Jawatankuasa Halal Nestle, Nasrul Hadi Mohamed Nor berkata, program tersebut telah mendapat kerjasama daripada Halal Development Corporation dan SME Corp bertujuan untuk menyokong pembangunan sektor halal di negara ini.

“Program ini bertujuan untuk memperkasakan PKS tempatan dengan berkongsi kepakaran kami dalam amalan halal terbaik, membantu mereka meningkatkan operasi dan mengembangkan perniagaan mereka,” katanya kepada Kosmo! dalam temubual melalui emel.

“Program ini telah berkembang untuk merangkumi pelbagai bidang yang penting untuk PKS dalam industri halal ini termasuklah panduan mengenai proses pensijilan halal, pelaksanaan operasi yang mematuhi halal, langkah-langkah kawalan kualiti dan pengurusan rantaian bekalan.

“Kami juga telah memperluaskan fokus kami untuk membantu PKS dengan strategi pertumbuhan perniagaan, kemasukan ke pasaran dan peningkatan pengeluaran sambil mengekalkan integriti halal.

“ Kami telah menyaksikan banyak kisah kejayaan daripada perniagaan keluarga kecil hingga peniaga tempatan yang berjaya memperoleh sijil halal,” jelasnya.

Tambah beliau, Nestle juga telah menyediakan latihan komprehensif mengenai piawaian dan peraturan bagi memastikan peserta mempunyai asas yang kukuh dalam keperluan dan prinsip halal.

“Kami menyediakan panduan mengenai pelaksanaan proses yang mematuhi halal, merangkumi segala aspek daripada sumber bahan sehingga penubuhan sistem dokumentasi yang tepat bagi memastikan kebolehkesanan,” ujarnya.

Beliau menggalakkan PKS untuk melihat pensijilan halal sebagai satu proses penambahbaikan yang berterusan, sambil menyediakan sokongan berpanjangan bagi membantu mereka mengekalkan dan meningkatkan amalan mereka dari semasa ke semasa

“Ini bukan sahaja memberi manfaat kepada operasi individu mereka tetapi juga menyumbang kepada pengukuhan kedudukan Malaysia sebagai hab halal global,” ujarnya.

Untuk mengetahui lebih lanjut tentang komitmen Halal dan Halalan Toyyiban, saksikan rancangan Berkat Halalan Toyyiban dibawakan khas oleh IKIM dan Nestlé Malaysia, yang akan disiarkan di IKIMfm pada 9 dan 23 Disember, dari jam 8:30 hingga 9:30 pagi, melalui Facebook serta YouTube IKIMfm. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI