MELAKA – Jualan Rahmah Madani tanpa henti selama 40 jam dalam Jelajah Karnival Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) 2024 Peringkat Zon Selatan bakal mencipta sejarah direkodkan dalam Malaysia Book Of Records (MBOR).
Menterinya, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, jualan tanpa henti bermula pukul 9 malam tadi hingga pukul 1 tengah hari Ahad ini diiktiraf sebagai Longest Non-Stop Government Community Sale.
Menurutnya, jualan tanpa henti itu adalah kali pertama diadakan di Dataran Sejarah Ayer Keroh, Melaka yang merupakan siri terakhir berbanding lima siri penganjuran karnival tersebut telah diadakan di Perlis (Zon Utara), Kelantan (Zon Timur), Perak (Zon Tengah), Sarawak dan Sabah.
“Jualan tanpa henti selama 40 jam ini pengunjung boleh datang ke karnival ini pada bila-bila masa untuk membeli pelbagai barangan Jualan Rahmah Madani (PJRM) dengan potongan harga dan juga menikmati menu Rahmah.
“Ini kita lakukan adalah sebagai menyambut ulang tahun ke-40 Kempen Beli Barangan Malaysia yang telah dilancarkan pada 1998,” ujarnya kepada pemberita selepas merasmikan Jelajah Karnival KPDN 2024 Peringkat Zon Selatan di Dataran Sejarah Ayer Keroh di sini malam tadi.
Armizan berkata, karnival yang berlangsung selama tiga hari itu menawarkan pelbagai barangan untuk dibeli oleh para pengunjung pada harga diskaun. – KOSMO! ONLINE