KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa hari ini menafikan satu kenyataan media berhubung adendum penahanan rumah dikeluarkan pihaknya.
Beliau berkata, kenyataan itu adalah palsu dan tidak pernah dikeluarkan olehnya
“Ini adalah satu tindakan yang tidak bertanggungjawab.
“Saya akan mengambil tindakan undang-undang kepada sesiapa yang mengeluarkan dan menyebarkan kenyataan media palsu ini,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.
Terdahulu, Polemik mengenai adendum kembali tular sejurus titah adendum dikatakan diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 yang membolehkan Datuk Seri Najib Razak menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah.
Pada 3 Julai lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Najib, 71, untuk memulakan prosiding semakan kehakiman ke atas lapan responden bagi mencabar kewujudan Titah Adendum itu, selepas berpendapat empat afidavit bagi menyokong permohonan Najib, termasuk oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Naib Presidennya, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail adalah bersifat dengar cakap atau khabar angin. – KOSMO! ONLINE