PUTRAJAYA – Kerajaan menyeru usahawan Majlis Amanah Rakyat (Mara) untuk mengintai dan meneroka peluang yang lebih luas menerusi platform ASEAN 2025 sewaktu kepengerusian Malaysia pada tahun hadapan dengan mengetengahkan produk-produk tempatan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada masa sama turut menyeru agar persediaan awal dapat dilakukan oleh para usahawan bimbingan Mara dengan meningkatkan produktiviti masing-masing.
“Saya ingin membawa usahawan-usahawan untuk mempamerkan produk-produk kita di sidang kemuncak ASEAN – Majlis Kerjasama Teluk (GCC) + China yang akan diadakan pada pertengahan tahun hadapan.
“Saya juga mahu usahawan-usahawan yang lahir dari Mara terutamanya usahawan wanita untuk mempamerkan produk-produk pada Sidang Kemuncak Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS)@ ASEAN yang akan diadakan di negara kita,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Anugerah Usahawan Mara (AURA) 2023/2024 di sini malam tadi.
Seramai 15 usahawan bimbingan Mara dalam pelbagai sektor menerima pengiktirafan dan penghargaan pada majlis tersebut. – KOSMO! ONLINE