SEPANG – Sindiket jenayah pemerdagangan manusia bukan sahaja bertindak kejam ke atas mangsa, malah mengugut keluarga di tanah air supaya menarik semula laporan yang dibuat.
Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim mendedahkan, sindiket tersebut mengupah samseng untuk mengepung kediaman keluarga mangsa kerana bimbang rahsia mereka terbongkar.
Beliau berkata, dalam kes terbaharu sindiket di Kemboja itu mempunyai hubungan rapat dengan kumpulan mereka di Malaysia.
Katanya, seorang lelaki berusia 20 tahun dari Johor yang sebelum ini bekerja di kedai runcit terperdaya dengan tawaran kerja bergaji besar di Singapura.
“Mangsa ini dihantar ke Sihanoukville, Kemboja lebih tiga minggu lalu sebelum dikurung kerana tidak mahir menggunakan komputer.
“Malangnya, dia dipukul teruk oleh 11 lelaki sehingga luka jahitan apendiks turut pecah selain seluruh tubuh badannya berdarah,” katanya pada sidang akhbar di Terminal 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.
Hishamuddin memaklumkan, mangsa bagaimanapun berjaya menghubungi keluarganya yang kemudian meminta bantuan MHO sebelum nekad terjun dari tingkat satu bangunan tersebut untuk melarikan diri. – KOSMO! ONLINE