KUALA LUMPUR – Kumpulan Taaveekun melalui anak syarikatnya, Taaveekun Agro Thai telah mendapat pengiktirafan daripada Jabatan Pertanian Thailand untuk pusat jualan milik syarikatnya di Hatyai, Thailand.
Pusat jualan tersebut memperoleh sijil Q Shop untuk Projek Kedai Faktor Pengeluaran Pertanian Berkualiti.
Pengasas dan Presiden syarikat, Md. Fadzilah Ariffin berkata, melalui sijil Q Shop yang diterimanya itu sekali gus akan menaik taraf pusat jualan atau kedai untuk menjual baja berkualiti tinggi yang boleh dijadikan penyelesaian terbaik kepada masalah petani dari segi pengeluaran.
“Syarikat juga akan diberi maanfat daripada aspek penerimaan maklumat tentang pembaharuan lesen sebelum lesen tamat, analisis sampel produk percuma untuk pemeriksaan awal dan simbol Q-Shop sebagai jaminan kualiti,” katanya dalam kenyataan di sini.
Sebelum ini, Kumpulan Taaveekun turut melakar sejarah apabila dipilih sebagai penerima Pencapaian Kecemerlangan Profesional di Indonesia yang diberikan kepada Md Fadzilah.
Anugerah itu diberikan oleh Kamar Entrepreneur Indonesia (KEIND) dalam satu majlis di Jakarta yang menghimpunkan usahawan kecil, sederhana dan besar dalam satu forum kerjasama.
Md. Fadzilah menjelaskan, pusat jualan atau kedai yang memiliki Q Shop mesti mempunyai penyelia jualan dengan ijazah sarjana muda dalam bidang pertanian atau ijazah sarjana muda dengan sekurang-kurangnya dua tahun pengalaman menjual dalam pengeluaran pertanian.
Selain itu ujar beliau, kakitangan premis itu juga perlu mempunyai sijil vokasional yang lebih tinggi dalam pertanian dengan sekurang-kurangnya tiga tahun pengalaman.
“Kriteria lain adalah kakitangan yang mempunyai sekurang-kurangnya empat tahun pengalaman dalam menjual faktor pengeluaran pertanian yang telah disahkan oleh persatuan terlibat dalam baja, bahan berbahaya dan varieti tumbuhan.
“Justeru, dengan pensijilan Q Shop ini, ia secara tidak langsung akan membantu menghapuskan kedai input pertanian yang menjual produk substandard dan berkualiti rendah dalam negara,” katanya.
Tambah beliau, sebaik sahaja pusat jualan di Hatyai beroperasi pada Mei lalu, pihaknya terus membuat permohonan untuk mendapatkan sijil Q Shop dan kelulusan memperolehinya diterima tiga bulan kemudian.
“Pengiktirafan ini mencerminkan usaha keras warga kerja syarikat untuk menawarkan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE