fbpx

KKDW bela nasib 8.1 juta penduduk desa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Zahid (tengah, barisan hadapan) pada Majlis Perhimpunan Bulan Disember 2024 dan Sambutan Hari Inovasi KKDW di Putrajaya semalam.

PUTRAJAYA – Pengenalan inisiatif Aspirasi Desa Madani yang memperjelaskan teras utama sebagai peta hala tuju yang menjadi asas kepada pelbagai program dilaksana­kan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dilihat berjaya membuahkan hasil.

Dalam konteks ini, teras utama yang merangkumi elemen kemahiran dan pengetahuan selain keberkesanan dan kecekapan, data dan digital serta ‘wow-factor’ telah meletakkan KKDW sebagai antara kementerian terbaik.

Selain itu, KKDW turut me­rangka beberapa pendekatan strategik yang menjadi ‘game-changer’ se­perti Desa to Global (D2G) serta Halal to Global (H2G), sekali gus membawa impak baharu kepada pembangunan desa di Malaysia.

Menurut Menteri Ke­majuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, KKDW berjaya men­cipta pelbagai kejayaan menerusi ini­siatif digariskan khususnya dalam bidang pendidikan, ekonomi dan pembangunan infra­struktur desa.

Menurut beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri, program TVET Tahfiz yang menggabungkan elemen kemahiran dan hafazan al-Quran merupakan antara kejayaan bidang pendidikan selepas berjaya melatih 1,366 pelajar.

“Bagi program Pra Tahfiz KEMAS pula, ia berjaya melahirkan seramai 54,885 kanak-kanak yang menguasai lebih daripada 10 surah iaitu menghampiri sasaran 62,175 kanak-kanak.

“Selain itu, ia juga melibatkan kejayaan seramai 104 orang murid Orang Asli cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 dengan mempe­roleh 5A ke atas selain 37 pelajar Orang Asli mendapat PNGK 2.80 ke atas dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sempena Majlis Perhimpunan Bulan Disember 2024 dan Sambutan Hari Inovasi KKDW di sini semalam.

Ahmad Zahid

Bagi pencapaian sudut ekonomi pula, Ahmad Zahid berkata, KKDW berjaya mencatat prestasi cemerlang dan melebihi sasaran tahunan seperti melatih 1,486 graduan menerusi Pertama, Program TVET Teknopreneur.

“Pada masa sama, program Pendigitalan Usahawan Desa turut membantu seramai 1,224 usahawan dengan memanfaatkan platform e-dagang di lima lokasi terlibat,” jelasnya.

Sementara itu, menyingkap kejayaan dalam pembangunan infra­struktur desa pula, KKDW terus mencatat pencapaian terbaik termasuk pengiktirafan Projek Biogas FELCRA Jayaputra sebagai loji terbesar di Malaysia.

Selain itu, melalui Program Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS), KKDW turut berjaya membina sejumlah 1,200 rumah baharu selain 5,602 rumah dibaikpulih.

Melalui Program Ameniti Sosial pula, sebanyak 522 projek turut berjaya dilaksanakan berbanding sasaran awal iaitu sejumlah 400 projek.

AHMAD ZAHID (tengah) berswafoto bersama kakitangan KKDW.

Kejayaan itu turut melibatkan sebanyak 1,272 rumah menerima bekalan elektrik dan 4,737 rumah dibekalkan air yang memberi manfaat masing-masing kira-kira 6,360 dan 23,685 penduduk desa.

Susulan itu, Ahmad Zahid menyeru kepada seluruh warga KKDW untuk terus melipat gandakan ­usaha bagi menyantuni seramai 8.1 juta masyarakat desa dengan tidak me­ninggalkan warga berkenaan.

“Saya percaya ini kelebihan yang kita lakukan telah menarik perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memberikan peruntukan tambahan pada belanjawan 2025.

“Ia melibatkan peruntukan sebanyak RM11.96 bilion iaitu pe­ningkatan sebanyak RM405.27 juta atau 3.51 peratus berbanding tahun 2024,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, sempena Sambutan Hari Inovasi, Ahmad Zahid turut meminta warga KKDW untuk menggandakan usaha dalam mencipta lebih banyak idea baharu.

“Inovasi ini, jika dimanfaatkan sepenuhnya, pasti dapat memakmurkan masyarakat desa secara keseluruhannya,” katanya.

Untuk rekod, semalam genap dua tahun Ahmad Zahid menerajui KKDW, kementerian yang diberikan mandat dalam Kerajaan Perpaduan untuk mengurangkan jurang sosioekonomi antara penduduk bandar dan desa. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI