MUNICH – Misi Bayern Munich untuk mencatat gelaran trebel pada saingan musim ini tidak kesampaian selepas ‘bungkus awal’ daripada kempen Piala Jerman apabila tewas kepada Bayer Leverkusen pada aksi pusingan ketiga DFB Pokal awal pagi semalam.
Lebih malang, penjaga gol veteran yang juga kapten pasukan, Manuel Neuer dilayangkan kad merah buat kali pertama dalam kariernya dengan jaringan tunggal perlawanan dijaringkan oleh peman tengah Leverkusen, Nathan Tella.
Neuer yang kini berusia 38 tahun memohon maaf kepada para penyokong kerana menjadi ‘duri dalam daging’ buat pasukan dan berharap semua dapat mempamerkan kebangkitan pada aksi akan datang.
“Ini adalah perlawanan yang penting tetapi saya sudah membuat kesilapan besar. Tiada apa lagi yang boleh saya katakan selain memohon maaf kepada penyokong dan barisan pemain.
“Secara jujur, saya harapkan pemain lawan (Jeremie Frimpong) berada dalam kedudukan ofsaid tetapi ia tidak berlaku dan kami perlu terima kekalahan ini dengan terbuka,” katanya yang dilayangkan kad merah pada minit ke-17.
Sementara itu, pengendali Bayern, Vincent Kompany mengakui bukan mudah untuk menentang Leverkusen terutama beraksi dengan 10 pemain untuk sebahagian besar perlawanan.
“Ini adalah kekalahan yang menyakitkan kerana impak kad merah begitu besar. Meskipun saya pernah bermain 10 orang sebelum ini, kali ini cabarannya begitu hebat tetapi pemain juga sudah berikan sepenuh jiwa,” katanya. – AGENSI