KUALA LUMPUR – Isu berkaitan banjir yang sedang melanda negara ketika ini antara yang menjadi tumpuan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Menurut Aturan Urusan Mesyuarat, perkara itu dibangkitkan pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri oleh V. Ganabatirau (PH-Klang) yang meminta Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air menyatakan tahap kepuasan kerajaan terhadap pembangunan infrastruktur tebatan banjir dan pelaburan yang berkaitan.
Selain itu, beliau meminta menteri berkenaan menyatakan langkah yang sedang diambil untuk meningkatkan tahap persediaan dan kecekapan tindak balas negara terhadap musibah banjir.
Dalam pada itu, Roslan Hashim (PN- Kulim Bandar Baharu) meminta Menteri Pendidikan menyatakan bilangan pelajar yang terjejas akibat banjir di seluruh negara dan jumlah sekolah yang digunakan sebagai pusat pemindahan sementara (PPS) setakat ini.
Selain itu, Young Syefura Othman (PH-Bentong) bertanyakan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri mengenai pendirian Malaysia susulan kenyataan Amerika Syarikat yang mengancam untuk mengenakan 100 peratus tarif ke atas negara-negara BRICS yang merancang untuk menggantikan penggunaan AS$.- KOSMO! ONLINE