fbpx

Dewan Negara: JPJ keluar 1.5 juta Notis Saman kenderaan perdagangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Sebanyak 1,512,916 Notis Saman dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) atas pelbagai kesalahan melibatkan kenderaan perdagangan barangan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) bagi tahun 2022 hingga 2024.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata, bagi kesalahan lebih muatan, sebanyak 7,259 kompaun dikeluarkan di bawah Akta Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan (Akta 334) dan 4,980 kertas siasatan di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat (Akta 715)

“JPJ juga turut melaksanakan Audit Pemeriksaaan dan Keselamatan (JISA) terhadap kenderaan perdagangan. Sebanyak 5,559 audit telah dijalankan ke atas 3,088 syarikat sepanjang 2019 sehingga Oktober 2024.

“Bagi tahun 2024, sebanyak 210 lesen pengendali, 67 permit kenderaan telah digantung. Manakala dua lesen pengendali dan 32 permit kenderaan telah dibatalkan.

“Tindakan ini diambil berdasarkan kes kemalangan, dapatan dari Laporan Pemeriksaan dan Audit Keselamatan (JISA) oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan juga daripada aduan,” katanya pada sidang Dewan Negara di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Datuk Mustafa Musa berhubung tindakan paling berkesan JPJ dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) dalam menangani isu kemalangan jalan raya maut yang melibatkan kenderaan berat yang mengalami kerosakan brek dan dipandu secara melulu serta cuai.

Hasbi berkata, kesalahan membawa lebih muatan merupakan salah satu punca berlaku kegagalan pada sistem brek kenderaan susulan pemanasan melampau disebabkan muatan berlebihan terutama ketika menuruni bukit.

Ujar beliau, sebagai langkah ke hadapan, penguatkuasaan Kenderaan Berat melalui High-Speed Weigh-In-Motion (HS-WiM) System akan dilaksanakan sebagai langkah awal yang lebih berkesan.

Jelas beliau, pelaksanaan sistem HS-WiM membenarkan suatu kenderaan motor ditimbang semasa bergerak dengan kelajuan tinggi sehingga 120 km/j.

“Bagi memastikan standard penimbangan adalah tepat, peralatan WiM akan dikalibrasi setiap 12 bulan dengan mematuhi piawaian yang ditetapkan,” katanya.

Kata beliau, sistem itu juga membolehkan pemantauan terhadap kenderaan berat dilaksanakan secara ‘real time’ dan saman juga boleh dikeluarkan dengan segera sebagaimana pelaksanaan sistem Automated Awareness Safety System (AwAS).- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI