JITRA – Kementerian Dalam Negeri (KDN) menggerakkan sukarelawannya untuk turun membantu membersih dan memulihkan kawasan terjejas banjir terutama di rumah ibadat, sekolah dan dewan menerusi inisiatif Insan Madani.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, sukarelawan akan memberi tumpuan kepada pembersihan kawasan termasuk melibatkan sampah pukal seperti almari dan perabot yang perlu diuruskan dengan cekap.
“Kelebihan aset KDN seperti pam berkuasa tinggi dan ‘water cannon’ akan digunakan untuk membantu membersihkan parit, bangunan dan kawasan lain,” katanya pada sidang akhbar selepas melawat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Tinggi, di sini hari ini.
Selain itu, katanya, Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) juga telah diarahkan untuk menggerakkan program Menyemai Kasih Rakyat bagi menggantikan dokumen pengenalan diri yang hilang akibat banjir seperti kad pengenalan dan sijil kelahiran secara percuma.
“Kenderaan bergerak seperti bas dan van akan ditempatkan di lokasi strategik bagi memudahkan mangsa. Ketua Pengarah Imigresen turut bersetuju untuk melaksanakan inisiatif yang sama bagi dokumen seperti pasport,” ujarnya.
Sementara itu, Saifuddin memberitahu, dia turun meninjau sendiri PPS bagi memastikan keadaan kesihatan mangsa banjir, kesediaan makan dan minum serta penyelarasan agensi dan sukarelawan adalah dalam keadaan terbaik.
“Saya juga diberi maklum bahawa lebih 80,000 petugas daripada pelbagai agensi terlibat dalam operasi banjir ini termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Sukarelawan (Rela) dan lain-lain,” jelasnya.
Katanya, daripada lebih 4,000 petugas di Kedah, seramai 1,000 daripadanya adalah agensi di bawah KDN. – KOSMO! ONLINE