KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan peranannya dalam membantu pihak berkuasa Singapura menahan seorang taikun yang menjadi buruan selama 19 tahun atas kes penyelewengan wang berjumlah AS$72 juta (RM336 juta).
Operasi bersama itu bermula apabila Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB) Singapura memohon bantuan SPRM bagi mengesahkan identiti dan mengesan lokasi suspek utama kes berkenaan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata, Pengarah CPIB melawat ibu pejabat SPRM untuk membincangkan butiran kes secara mendalam, April lalu.
“Permohonan rasmi untuk pelaksanaan waran tangkap dibuat di bawah Akta Bantuan Bersama Dalam Perkara Jenayah 2002 [Akta 621] dan Akta (Peruntukan-Peruntukan Khas) Saman dan Waran 1971 [Akta 25].
“Pasukan risikan SPRM menjalankan pemantauan dan mengumpul maklumat penting termasuk gambar pemantauan dan butiran peribadi suspek.
“Analisis menggunakan teknologi pengecaman wajah yang dilakukan CPIB menunjukkan kemungkinan 70 peratus bahawa individu tersebut adalah suspek yang dikehendaki,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Susulan maklumat itu, Azam memaklumkan SPRM Johor berjaya mengenal pasti lokasi suspek sebelum melaksanakan tangkapan dan sekali gus menamatkan pelarian suspek yang berlanjutan hampir dua dekad.
Jelas Azam, kejayaan itu mencerminkan komitmen SPRM, khususnya melalui Cawangan Bantuan Bersama Siasatan Luar Negara (FOMIA), dalam menangani jenayah rasuah serta kes rentas sempadan.
“Operasi ini menyerlahkan kepentingan perkongsian risikan, pemantauan, dan kolaborasi erat antara agensi antarabangsa dalam menegakkan keadilan,” katanya.-KOSMO! ONLINE.