KUALA LANGAT – Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menegaskan bahawa tiada keperluan untuk Kementerian Pendidikan (KPM) melaksanakan sesi kedua peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024.
Beliau menjelaskan, setakat ini peperiksaan tersebut berjalan dengan lancar dan beliau berpuas hati dengan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) menerusi Ops Payung yang telah diaktifkan.
“Kenapa perlu ada sesi kedua kalau kita boleh (buat) satu sesi sahaja? Semalam saya sudah tegaskan dalam Dewan Rakyat bahawa persiapan kita melalui banjir ini adalah di bawah Ops Payung diaktifkan setiap tahun apabila berhadapan dengan isu bencana banjir dan ia adalah kekuatan jentera agensi kerajaan.
“Setakat hari ini kita berpuas hati dengan pelaksanaan selepas fasa utama pemindahan dan fasa kedua pembugaran emosi dan daripada hari pertama sehingga hari ini, anak-anak kita telah menghadapi peperiksaan ujian lisan dengan sangat baik,” katanya selepas Majlis Pecah Tanah Sekolah Kebangsaan Gamuda Cove dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Gamuda Cove di sini hari ini.- KOSMO! ONLINE