KUANTAN – Selepas 12 tahun beroperasi di Pahang, Rapid Kuantan yang menyediakan perkhidmatan bas di sekitar Kuantan dijangka menamatkan operasi tahun hadapan yang akan digantikan dengan operator baharu.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan negeri, Datuk Ir. Razali Kassim berkata, penghentian operasi konsesi bas itu adalah berikutan Rapid Kuantan tidak memasuki tender terbuka dikeluarkan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) di Kuantan dari 2025 sehingga 2030.
Katanya, bagaimanapun Rapid Kuantan yang telah menjalankan operasi mereka di Kuantan sejak 2012 perlu meneruskan perkhidmatan mereka sehingga Surat Setuju Terima (SST) dikeluarkan untuk tender berkenaan.
Menurutnya, kerajaan negeri bersama APAD akan sentiasa memantau pengoperasian perkhidmatan bas agar operator baharu yang dilantik memberikan perkhidmatan yang lebih baik bagi rakyat di Kuantan. – KOSMO! ONLINE