SEOUL – Presiden Korea Selatan, Yoon Suk-yeol berdepan desakan untuk meletak jawatan hari ini selepas percubaan singkatnya untuk melaksanakan undang-undang tentera ditentang oleh Ahli Parlimen, serta mengakibatkan beribu-ribu penunjuk perasaan turun ke jalanan.
Tindakan mengejut Suk-yeol mengenakan undang-undang tentera ke atas Korea Selatan buat kali pertama dalam tempoh lebih empat dekad, menjerumuskan negara itu ke dalam kemelut paling serius dalam sejarah demokrasi modennya.
Perkembangan dramatik itu telah menyebabkan masa depan ahli politik konservatif dan bekas pendakwa raya terkenal yang dipilih sebagai Presiden pada 2022 tersebut, dalam bahaya.
Parti pembangkang utama Korea Selatan menuntut Suk-yeol agar meletak jawatan segera.
“Kami akan memfailkan tuduhan pemberontakan terhadap Suk-yeol, Menteri Pertahanan dan Dalam Negeri serta tokoh tentera dan polis yang terlibat,” kata Parti Demokrat dalam satu kenyataan.
Kesatuan buruh terbesar negara itu turut mendesak agar mogok umum tanpa had dilakukan sehingga Suk-yeol meletak jawatan.
Suk-yeol mengejutkan dunia dengan pengumuman di televisyen lewat malam semalam bahawa beliau mengisytiharkan undang-undang tentera disebabkan ancaman Korea Utara dan kumpulan anti negara.
Lebih 280 tentera yang disokong oleh 24 helikopter tiba di Parlimen untuk menutup lokasi tersebut selepas pengisytiharan luar biasa itu lewat semalam.
Bagaimanapun, 190 Ahli Parlimen berhadapan dengan tentera yang bersenjatakan senapang, bagi membolehkan mereka masuk ke dalam Parlimen untuk mengundi bagi menentang tindakan Suk-yeol.
Ia menyebabkan beliau tiada pilihan selain menarik balik pengisytiharan tersebut.
Di bawah Perlembagaan, undang-undang tentera mesti ditarik balik apabila majoriti Ahli Parlimen menuntut ia dibatalkan.
Sementara itu, menjelang tengah hari, hari ini, Suk-yeol masih belum muncul secara terbuka di mana-mana lokasi. – AFP